Fasa Bulan

Modul dirangka dan diubahsuai oleh: Fatin & Jiha
Editor: Hafez & Hazim

Tempoh Masa : 30 – 45 minit

Kesesuaian Umur : 9 tahun hingga 13 tahun

Peralatan dan Bahan :
1) 4 Pinggan kertas atau kertas berbentuk bulat
2) Marker
3) Krayon atau Water colour
4) Pensel
5) Pembaris
6) Penebuk lubang
7) Gunting
8) Pengikat atau pin

Objektif Pembelajaran :
1) Memahami kitaran dan fasa-fasa Bulan.
2) Menerangkan pergerakan bulan.

Latar Belakang :
Bulan tidak mengeluarkan cahaya, tetapi memantulkan cahaya Matahari untuk sampai ke mata kita. Bulan adalah satelit semula jadi Bumi yang sentiasa beredar mengelilingi Bumi. Bulan mengambil masa selama 29.5 hari untuk melengkapkan satu peredaran mengelilingi Bumi. Hal ini menyebabkan perubahan bentuk pada bulan yang dapat kita lihat dari bumi. Bentuk-bentuk Bulan yang berbeza dikenali sebagai fasa Bulan. Semasa Bulan mengelilingi Bumi, kedudukan Bulan berubah dari masa ke masa. Gambar di bawah menunjukkan bagaimana fasa-fasa bulan berlaku.

Fasa-fasa Bulan.
Bulan BaruApabila permukaan Bulan yang gelap menghadap Bumi. Jadi, Bulan kelihatan gelap dan tidak dapat dilihat di langit malam.
Bulan SabitHanya sebahagian kecil permukaan bulan yang diterangi oleh cahaya Matahari yang menghadap Bumi.
Bulan SeparaSebahagian permukaan Bulan yang diterangi oleh cahaya Matahari menghadap Bumi.
Bulan Hampir PurnamaSemakin lama, semakin besar permukaan Bulan yang diterangi oleh cahaya Matahari menghadap Bumi.
Bulan PurnamaBerlaku apabila Bulan berada di sebelah Bumi yang bertentangan dengan Matahari.

Langkah-langkah Aktiviti:
1. Warna satu pinggan yang pertama dengan warna hitam. Pinggan ini akan mewakili Bulan baru.
2. Kemudian warna satu pinggan yang kedua seperti bulan purnama. Pinggan tersebut dicat putih, kuning atau kelabu. Anda digalakkan untuk menambah kawah, kawasan gelap atau butiran lain yang diingini.

3. Lipat separuh pinggan yang ketiga kemudian buat garisan di atas lipatan tersebut.

4. Potong pinggan mengikut garisan yang dilukis tadi. Setelah siap dipotong, warna seperti bulan purnama hanya di satu bahagian sahaja.

5) Selepas itu, ambil pinggan yang keempat dan lukis garisan merah seperti di bawah. Potong mengikut garisan dan warnakan mengikut bulan purnama.

6) Anda kini bersedia untuk menyusun! Letakkan kesemua bulan yang dibuat mengikut susunan berikut: bulan sabit, separa, hampir penuh dan penuh.

7) Akhir sekali, gabung dan tebuk bahagian atas pinggan seperti di bawah. Kemudian pin pinggan-pinggan tersebut menggunakan pengikat kertas atau pin. Anda kini boleh menyemak fasa bulan menggunakan pinggan yang telah dipasang! Pelajar juga boleh menulis nama fasa di atas pinggan.
8. Kongsi hasil kerja anda setelah siap di media sosial seperti Instagram dan Facebook dengan tag Apadilangit serta #ApadilangitAtHome.

Sekiranya tiada pinggan kertas, anda boleh menggunakan kertas berbentuk bulat yang boleh dibuat sendiri, dengan:
1) Ambil 4 helai kertas.
2) Ambil satu bekas yang berbentuk bulat kemudian letakkan bekas di atas satu helai kertas ,seterusnya lukis satu garisan mengikut bekas tersebut.
3) Angkat bekas kemudian gunting mengikut garisan bulatan tersebut.
4) Ulang langkah 2 dan 3 bagi kertas yang seterusnya. Jadi pinggan kertas anda sudah siap! Anda boleh teruskan dengan langkah membuat fasa-fasa bulan di atas.

Selamat Mencuba Aktiviti Ini !!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *