Tokoh Falak

Modul dirangka dan diubahsuai oleh: Fahim, Zafirah & Zaid
Editor: Dr. Raihana, Hafez & Hazim

Tempoh Masa : 20 – 30 minit

Kesesuaian Umur : 9 tahun hingga 17 tahun

Peralatan dan Bahan :
1) Sambungan Internet
2) Peranti elektronik
3) Pautan laman web Quizizz (di bawah)

Objektif Pembelajaran :
1) Mengenali tokoh falak di dunia.
2) Menghargai sumbangan-sumbangan yang telah disumbangkan oleh tokoh.
3) Menanam minat peserta untuk mencontohi ketokohan dan kebijaksanaan tokoh.

Latar Belakang :
Modul ini menerangkan secara ringkas tokoh-tokoh terdahulu yang banyak memberi sumbangan dalam ilmu Falak sama ada di seluruh dunia dan di Malaysia.
*Nota: Pastikan anda telah membaca maklumat tentang tokoh di ruangan Latar Belakang sebelum menjawab kuiz.

Ilmu Falak ialah ilmu astronomi yang depraktikkan berlandaskan keperluan ibadah umat Islam atau ia digelar Astronomi Islam. Ilmu ini banyak memberi manfaat pada umat islam dari segi pengiraan waktu solat, penetapan arah kiblat dan takwim atau kalendar hijrah. Tokoh-tokoh yang bakal diperkenalkan bukan sahaja menguasai Ilmu Falak semata-mata tetapi berbagai-bagai ilmu lagi seperti Matematik,Fizik dan Astronomi. Tokoh yang dikemukakan ialah:

Al-Battani

Al-Battani : Berjaya menghasilkan karya seperti al-Zij yang membantu perkembangan astronomi dan trigonometri di Eropah pada abad pertengahan dan permulaan Renaissance dan banyak penemuan baru yang berjaya ditemui berkaitan teori trigonometri.

Nama beliau ialah Abu Abdullah Muhammad bin Jabir bin Sanan Al-Harrani Ar-Raqqi Ash-Sha’ibi. Beliau digelar Al-Battani kerana beliau dilahirkan di daerah Battan, Harran, sebuah daerah yang terletak di Barat daya Iraq. Beliau dilahirkan pada 858 M di Battan, Barat Daya Iraq. Beliau meninggal dunia pada 929M. Al-Battani merupakan seorang ahli matematik dan astronomi. Keunggulannya dalam bidang astronomi melayakkan beliau memperoleh gelaran “Ptolemaeus Arab”, kerana beliau seakan-akan dengan Claudius Ptolemaeus yang hidup pada abad kedua Masihi. Di Barat, Al-Battani lebih dikenal dengan nama Albetenius.

Ibnu An-Nadim menyatakan dalam bukunya “Al-Fihrisat” bahwa Al-Battani mulai mengamati masalah astronomi sejak tahun 878M (Gaudah, 2010). Selain itu, ia telah menguasai buku-buku dalam bidang astronomi yang beredar pada masanya, terutama buku “Almagest” karya Ptolemaeus. Al-Battani telah menciptakan berbagai penemuan ilmiah dalam bidang astronomi, matematik (trigonometri berbentuk bola, aljabar, geometri), dan geografi. Dalam sejarah matematik, Al-Battani telah melakukan pelbagai penambahbaikan dan memberi solusi penting dalam masalah yang berhubungan dengan matematik trigonometri berbentuk bola (spherical trigonometry), iaitu ilmu matematik yang banyak memberika kontribusi dalam bidang astronomi (Gaudah, 2012).

Sumbangan :

  • Ibnu An-Nadim menyatakan dalam bukunya “AlFihrisat” bahwa Al-Battani mulai mengamati astronomi sejak tahun 878 M.
  • Beliau menguasai buku-buku dalam bidang astronomi pada zamannya “Almagest” karya Ptolemy.
  • Al-Battani telah menciptakan pelbagai penemuan ilmiah dalam bidang astronomi, matematik (trigonometri, algebra, geometri), dan geografi.
  • Al-Battani telah melakukan pembaikan dan memberi solusi penting dalam masalah yang berhubung dengan matematik trigonometri(spherical trigonometry).
  • Contoh dalam teori bintang, memperkenalkan sinus dan kosinus sebagai chord serta menggunakan teori tangen dan kotangen yang kemudian digunakan dalam trigonometri moden pada hari ini.
  • Merupakan orang yang pertama menghasilkan jadual kotangen .
  • Salah satu prestasi Al-Battani yang paling terkenal. Ptolemy menghitung panjang tahun matahari sebagai 365 hari, 5 jam, 55 minit dan 12 saat. Al-Battani membuat perngiraan baru berdasarkan tahun matahari untuk panjang tahun sebagai 365 hari, 5 jam, 46 minit dan 24 saat.
  • Al-Battani telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya dengan membina pusat kajian cakerawala di Rakyah.
  • Beliau telah mengemukakan kaedah pengukuran bintang di cakerawala menggunakan garis lengkuk.
  • Sebelum itu, para saintis Yunani telah memperkenalkan pengukuran bintang menggunakan tali. Pengukuran Al-Battani itu didapati lebih tepat dan praktikal kerana ia berdasarkan kepada teori tangen dan kotangen yang ditemuinya.
  • Ia mampu memperbaiki beberapa hasil Ptolemy dan menyusun rajah baru daripada matahari dan bulan. Al-Battani menemukan kembali bahwa arah Matahari berubah.

Al-Khawarizmi

Al-Khawarizmi : Beliau lebih hebat sebab bukan sahaja menguasai bidang syariah, astronomi dan matematik, tapi rupanya banyak lagi bidang yang beliau kuasai mcm bidang falsafah, muzik, sejarah islam, kimia. Dan paling penting, sangat dikenali diseantero dunia sebagai ‘Father of Algebra’.

Nama beliau ialah Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Yusoff. Beliau digelar al-khawarizmi / al-Cowarizmi / al-Ahawizmi / al-Karismi / al-Gorismi. Beliau dilahirkan pada 780M di daerah Khawarizm, Asia Tengah. Beliau meninggal pada 850M di Baghdad. Al-Khawarizmi merupakan seorang yang terkenal dengan kepakarannya dalam bidang matematik. Banyak dari cabang matematik yang berjaya ditemui oleh beliau. Dengan kelebihan yang ada pada beliau dalam bidang matematik, beliau menggunakan kelebihan tersebut untuk melihat kedudukan objek di angkasa.

Al-Khawarizmi hidup pada masa khalifah Bani Abbasiyyah. Al-Khawarizmi mulai terkenal dan mencapai puncak keemasannya pada masa pemerintahan Al-Makmun. Al-Makmun merupakan khalifah yang sangat mencintai ilmu pengetahuan dan banyak memusatkan fikirannya pada ilmu pengetahuan sehingga Al-Makmun sangat mendorong untuk mengembangkan ilmu pengetahuan. Ia mendatangkan buku-buku ilmu pengetahuan dari Baghdad, India, Yunani, mahupun Persia, yang kemudian diterjemahkan dalam Bahasa Arab. Al-Khawarizmi merupakan salah satu ilmuwan yang diberikan kepercayaan untuk menerjemahkan buku tersebut kedalam Bahasa Arab.

Karya:

Al-Jabar : Karya yang masyhur, yang sangat dikenali dan digunapakai oleh ahli matematik Islam dan Barat. Karya ini memberi solusi yang sistematik kepada linear dan notasi kuadrat. Terdapat juga pengertian tentang geometri dan teorem segi tiga.

Dixit Algorizmi : Buku asalnya telah hilang. Yang tersisa hanyalah terjemahan dalam bahasa Latin oleh Adelard of Bath pada abad ke12. Buku ini tentang aritmatik.

Kitab Al-Jam wa’l-tafriq bi-hisab al-Hid (Book of Addition and Subtraction by the Method of Calculation) : Karya ini merupakan pelajaran pertama yang ditulis dengan menggunakan sistem bilangan titik perpuluhan dan merupakan titik awal pengembangan matematika dan sains.

Kitab Surah Al Ard : Karyanya dalam bidang Geografi yang masyhur, memberi gambaran tentang bumi.

Zij Al Sindind : Salah satu karyanya dalam bidang astronomi. Buku ini berisi tentang 37 simbol pada kalkulasi kalender astronomi dan 116 jadual kalender astronomi dan data astrologi. Isi buku ini masih dipakai dalam bidang astronomi hingga sekarang.

Sumbangan :

  • Al-khawarizmi seorang tokoh yang memperkenal tentang konsep Algebra.
  • Orang pertama yang memperkenalkan angka sifar.
  • Seorang ilmuwan yang penting di sebuah pusat keilmuwan yang terkenal dizaman beliau iaitu di Bait Al-Hikmah(House Of Wisdom), Baghdad dibawah Khalifah al-Makmun.
  • Seorang yang berjasa dalam mengembangkan ilmu Algebra dan Arithmatik.
  • Memperkenalkan istilah sinus, kosinus, tangen dan kontangen.
  • Ilmu ukur sudut- jadual berkaitan fungsi sinus dan garis tangen.

Sheikh Tahir Jalaluddin

Sheikh Tahir Jalaluddin : Terkenal sebagai individu yang banyak menyumbang dalam sejarah Malaysia dan sangat luas keilmuannya bukan itu sahaja, beliau beramal dengan ilmu sehingga digelar Al-Falaki.

Nama beliau ialah Muhamad Tahir bin Syeikh Muhammad. Dilahirkan pada hari Selasa, 4 haribulan Ramadhan, tahun 1286 Hijrah bersamaan 7 Disember 1869 Masihi di Empat Angkat (Ampek Angkek), Bukit Tinggi Sumatera Barat. Beliau merupakan seorang anak Melayu Minangkabau yang telah berhijrah dan menetap di Tanah Melayu. Beliau digelar dengan perkataan “Al-Azhari, Al-Falaki Assyahir” iaitu bererti beliau merupakan keluaran Universiti al-Azhar di Mesir dan seorang ahli Falak yang terkenal.

Syeikh Tahir telah datang ke Mekah pada tahun 1297H (1880 m) bersama datuk sepupunya Haji Abdul Rahman. Beliau telah mendapat pendidikan asas seperti mengaji al-Qur’an dan mentajwidkan Qur’an daripada Tuan Syeikh Abdul Haq. Pelajaran lain berhubung dengan keugamaan dipelajarinya dari Syed Umar Syah, Syeikh Muhammad al-Khayyat, Syed Barkasyah dan sepupunya sendiri Syeikh Ahmad Khatib.

Seterusnya beliau mempelajari Ilmu Nahu (grammar), Bayan (Ilmu ucapan dan keterangan yang fasih), Ma’ani (ilmu makna), Badi’a (ilmu boleh mengenal pertuturan), Tauhid (ilmu mengenal Tuhan), Fekah (ilmu undang-undang), Usul Fikah (ilmu mengetahui asal undang-undang), Hadis (ilmu mengetahui perkataan, perbuatan dan kelakuan Rasul), Tafsir (ilmu menghuraikan makna-makna al-Qur’an), Hisab (ilmu kira-kira), Hisab Bidasab (Ilmu kira-kira sukat menyukat), Hai-ah (ilmu bintang) dan ilmu Falak (ilmu membicarakan matahari, bulan dan bintang-bintang beredar).

Sumbangan / Warisan Syeikh Tahir Jalaluddin

  1. Syeikh Tahir pernah dilantik oleh Sultan Idris, Perak untuk menjadi pemeriksa kiblat masjid diseluruh negeri Perak.
  2. Syeikh Tahir telah menerbitkan dua buah buku iaitu buku Pati Kiraan pada menentukan waktu yang Lima dan hal Kiblat dengan Logarithma, buku itu diterbitkan di Singapura melalui al-Ahmadiah Press pada tahun 1938. Seterusnya pada tahun 1951 diterbitkan pula buku Natijah al-Ummi (pendapat kira-kira pada takwim tarikh Hijrah dan Miladi, hala kiblat Mazhab Shafii).
  3. Menitikberatkan kepentingan ilmu hisab untuk menentukan tarikh berpuasa dan berhari raya.
  4. Beliau sering diberi kepercayaan untuk membantu menyelesaikan masalah hukum agama berdasarkan keilmuannya yang luas baik di dalam Ilmu Falak mahupun yang berhubung dengan soal keagamaan.
Kitab Pati Kiraan oleh Sheikh Tahir Jalaluddin.

Sheikh Abdullah Fahim

Sheikh Abdullah Fahim : Sangat hebat dalam ilmu falak sehingga Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meminta tarikh kemerdekaan Malaysia sebelum beliau berangkat ke London untuk rundingan disana.

Tuan Guru Haji Abdullah bin Ibrahim (Abdullah Fahim). Dilahirkan di Kampung Sha’ab Ali, Makkatul Mukarramah pada tahun 1286 Hijrah bersamaan 1869 Masihi. Bapanya iaitu Syeikh Ibrahim bin Tahir berasal dari Kubur Panjang, Kedah dan merantau ke Mekah seterusnya menjadi guru al-Quran di Masjidil Haram. Beliau dibesarkan di Mekah dan telah berguru dengan ramai ulama dari Mekah dan Madinah serta ulama dari Tanah Melayu.

Beliau tidak banyak menulis melainkan menghasilkan sebuah buku kecil yang berjudul Khutbah Penyedar dan menyusun sebuah taqwim untuk solat. Hj. Abdullah adalah tokoh yang menentukan tarikh kemerdekaan, iaitu 31 Ogos, 1957, bagi Malaya. Menurut ramalannya, tarikh itu adalah sesuai untuk diisytiharkan kemerdekaan. Beliau memegang jawatan mufti Pulau Pinang selama lebih kurang 5 tahun.Merupakan datuk kepada perdana menteri Malaysia yang kelima iaitu Datuk Seri Adullah Ahmad Badawi.

Sekembalinya beliau ke Tanah Melayu, beliau telah memulakan pengajian dengan mengasaskan Dairat al-Ma’arif al-Wataniyyah, Kepala Batas.
Seterusnya, beliau dijemput menjadi mudir di Madrasah Idrisiyyah, Bukit Candan, Kuala Kangsar, Perak. Berkhidmat selama 16 tahun (1931 sehingga 1947). Walau bagaimanapun, Hj. Abdullah terpaksa keluar meninggalkan negeri Perak dalam masa 24 atau 36 jam atas arahan Sultan Alang Iskandar kerana beliau dan Syaikh Tahir Jalaluddin, seorang pemimpin ulama’ yang beraliran islah telah difitnah oleh Residen Inggeris ketika itu. Menurut surat fitnah yang disampaikan kepada sultan, dua orang ulama’ itu dituduh sebagai orang-orang yang memusuhi kerajaan Inggeris dan sedang menjalankan rancangan untuk menggulingkan Sultan Alang Iskandar dan raja-raja Melayu yang lain.

Sumbangan / Warisan Syeikh Abdullah Fahim

  1. Jadual Takwim Waktu Solat.
  2. Penentuan Arah Qiblat dan Waktu Solat dengan Jam Zawal.
  3. Perigi Pencerapan Bintang.
  4. Peristiwa Falak Detik Kemerdekaan Malaysia.

Langkah-langkah Aktiviti:
1. Para peserta atau penjaga perlu memastikan capaian internet disambungkan pada peranti yang digunakan seperti komputer atau telefon pintar.
2. Setiap peserta akan diminta untuk klik pautan dibawah untuk memulakan aktiviti kuiz yang bertema astronomi dan falak.
3. Kemudian tekan button Play untuk mula menjawab kuiz.

Kuiz Tokoh Falak Malaysia

>> https://bit.ly/kuiztokohfalakMY

Kuiz Tokoh Falak Dunia

>> https://bit.ly/kuiztokohfalakdunia

4. Kongsi markah dengan screenshot keputusan anda setelah siap menjawab kuiz dan kongsikan di media sosial seperti Instagram dan Facebook dengan tag Apadilangit serta #ApadilangitAtHome.

Rujukan tokoh:
> Kertas Kerja Pembentangan
> eprints USM
> Jabatan Mufti Pulau Pinang
> Prosiding Integrasi Interkoneksi Islam dan Sains

Selamat Mencuba Aktiviti Ini !!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *